Thursday, May 31, 2012

PERADUAN ULAS BUKU ITBM


Judul Buku: Menjuarai Transformasi
Nama Penulis: Najib Tun Razak
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Harga: RM32.00

Buku bertajuk “Menjuarai Transformasi (Driving Transformation)” yang dihasilkan melalui cetusan rasa dan ilham Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak ini merupakan penerbitan buku keempat beliau bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Ia merupakan kesinambungan daripada tiga (3) buah buku beliau yang terdahulu, iaitu “Menakhoda Zaman: Menyingkir kelemahan, menyahut cabaran, menggerak perubahan, membina masa depan”, “Jawapan Najib: Merungkai Persoalan Semalam, Konflik Hari Ini dan Cabaran Masa Depan” dan “Perkhidmatan Awam: Meneraju Perubahan, Melangkau Jangkaan”.


Istimewanya mengenai buku ini adalah ia merupakan buku pertama yang diterbitkan secara ekocetak (eco-printing) menggunakan bahan semulajadi dan mendapat pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Eco-Labelling Scheme. Selain itu, kelainan pada buku ini adalah ia diterbitkan secara dwibahasa dalam satu cetakan buku yang sama di mana pembaca boleh memilih sama ada untuk membacanya dalam versi Bahasa Melayu atau pun Bahasa Inggeris.

Menampilkan Prakata oleh Saudara Mohd Khair Ngadiron selaku Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITNM sebagai pembuka tirai pembacaan, buku setebal 82 halaman yang diterbitkan pada tahun 2011 ini turut memaparkan kata-kata pendahuluan dari YAB Dato’ Sri Mohd Najib sendiri. Buku yang mengandungi 11 bab ini dihasilkan dengan bait-bait ayat yang cukup telus, dilengkapkan dengan fakta-fakta sejarah dan pastinya disempurnakan dengan ungkapan-ungkapan bermakna beliau dalam mempamerkan kredibiliti sebagai Pemimpin No.1 Negara.

Melalui buku ini, beliau menyampaikan hasrat agar transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan selari dengan keperluan dunia hari ini dan akan menjadi inspirasi kepada rakyat untuk terus mengekalkan perpaduan sebagai sebuah Negara majmuk. Dalam Bab 1 sebagai contoh, beliau telah memberi fokus dalam membicarakan tentang keunikan kaum Melayu selain mengungkapkan beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara serta bait-bait coretan gurindam daripada tokoh persuratan.

Bab 2 dengan fokus kepada memperkukuh jati diri memaparkan peranan UMNO yang disifatkan beliau sebagai ‘...parti siasah semesta yang melaluinya semua pihak mempunyai peranan dan tempat’. Pendapat beliau mengenai Melayu dan UMNO sebagai peneraju bangsa seterusnya diungkapkan dalam Bab 3. Cetusan rasa beliau seterusnya diluahkan dalam Bab 4 melalui sub-tajuk ‘Menyatu Bangsa Membina Negara’ di mana beliau mengimbas kembali jasa-jasa Perdana Menteri Malaysia terdahulu dalam membina Negara dan percaya tiga(3) elemen iaitu keadilan sosial, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi adalah saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain dalam memastikan Malaysia akan terus gemilang di mata dunia.

Bab 5 pula menyentuh tentang kepentingan Prinsip Rukun Negara iaitu mendukung Keluhuran Pelembagaan. YAB Perdana Menteri turut menyifatkan kejayaan terbesar Malaysia sebagai sebuah Negara majmuk adalah menjadikan kepelbagaian yang ada sebagai satu kekuatan.Ini diterjemahkan oleh beliau dalam penulisan Bab 6.

Bab 7 dan 8 pula mengimbau tentang lipatan sejarah lalu dan peranan yang boleh disumbangkan rakyat dalam memastikan Malaysia akan terus ‘berdiri sama tinggi’ dengan Negara lain. Bab 9 menyentuh tentang pencetus perubahan negara terutamanya dalam perkembangan politik tanahair. Manakala Bab 10 mengutarakan mengenai hak, kebebasan dan keselamatan Negara. Bab terakhir dalam tulisan beliau menekankan mengenai usaha kerajaan dalam menjalankan transformasi untuk menjuarai kegemilangan dan menyimpulkan bahawa kerajaan tidak akan sekali-kali berganjak dalam melaksanakan yang terbaik demi keharmonian Negara dan ini hanyalah satu permulaan bagi perjalanan yang masih panjang.

Secara keseluruhan, buku ini merupakan sebuah buku yang seharusnya dibaca dan dihayati oleh setiap warganegara Malaysia terutamanya generasi muda dalam memahami hasrat seorang pemimpin Negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada tanahair tercinta ini.


1 comment:

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)